KEUPAYAAN MENGUASAI PENGGUNAAN TEKNOLOGI SISTEM MYEHALAL

Authors

Sazelin Arif
Nurdinah Abu Bakar
Norun Najjah Ahmad

Synopsis

Sistem MYeHALAL dibangunkan bagi memberi kemudahan kepada permohonan pensijilan halal di Malaysia. Transformasi permohonan pensijilan halal secara manual kepada teknologi secara dalam talian bermatlamat untuk menyelaraskan proses agar menjadi lebih teratur, berpusat dan berkesan selari dengan peralihan semasa kepada dunia digital. Namun begitu, peralihan ini menimbulkan pelbagai isu dan tanggapan negatif daripada sebilangan pemohon. Justeru, artikel ini adalah bagi membincangkan halangan yang dihadapi oleh pemohon halal dalam penggunaan sistem MYeHALAL dan faktor yang menentukan keupayaan menguasai penggunaan teknologi sistem permohonan halal secara dalam talian. Dengan bersandarkan Actor Network Theory iaitu teori yang menganalisis kedua-dua elemen teknikal (teknologi) dan sosial (manusia) secara sama rata menerusi proses penterjemahan sebagai rangka, teknik temu bual separa berstruktur ke atas 14 orang pemohon halal serta tiga pegawai daripada JAKIM dan JAIM telah dijalankan. Kajian mendapati terdapat beberapa halangan yang dihadapi oleh pemohon halal dalam penggunaan sistem MYeHALAL. Ia merangkumi dua halangan utama iaitu masalah berkisar sistem itu sendiri dan kelemahan pengguna sistem. Berdasarkan dapatan halangan ini, kajian telah dapat mengenal pasti beberapa aktor atau faktor yang menentukan keupayaan dalam menguasai penggunaan teknologi MYeHALAL sebagai sistem permohonan halal secara dalam talian. Ia melibatkan beberapa faktor iaitu ilmu pengetahuan, kemahiran, pengalaman, operasi penyelenggaraan dan kebolehcapaian sistem. Realitinya, terdapat banyak faktor yang menyumbang atau menghalang kejayaan sesuatu sistem atau aplikasi yang dibangunkan. Memperkasakan penggunaan sistem secara dalam talian tidak semata-mata bergantung kepada prestasi sistem MYeHALAL, namun ia perlu dilihat secara menyeluruh merangkumi faktor lain yang turut memberi kesan berbeza kepada penggunaan sistem secara keseluruhannya.

Downloads

Published

November 1, 2023

Details about this monograph

Physical Dimensions